Mohammad Ammar Amsyar |
Assalamualaikum. Alhamdulillah kerana Allah masih memberi kesempatan pada saya untuk menulis, melihat, dan mendengar. Atas anugerah yang telah diberikan itu juga, mampu memberi saya kekuatan untuk meneruskan hidup saya sebagai seorang pelajar yang tidak dapat lari daripada tugasan yang menggunung. Justeru, saya menggagahkan diri untuk menyiapkan entri blog saya ini. Sudah pasti ada yang tertanya-tanya kaitan gambar anak saudara saya di atas dengan tajuk yang akan saya ketengahkan ini bukan? Suka kiranya jika dapat saya bercerita mengenai anak saudara saya ini yang baru menginjak usia satu tahun lima bulan. Apa yang ingin saya ceritakan adalah kelincahan Ammar dalam bertutur. Tetapi, sebelum itu ingin saya ceritakan serba sedikit mengenai perkembangan bahasa kanak-kanak mengikut tokoh bahasa.
Menurut Menn dan Stoel Gammon (Babbling: On-line), dalam perkembangan bahasa, tempoh vokalisasi pralinguistik atau mengagah boleh dibahagikan kepada lima tahap iaitu tangisan, berdekut (cooing), tahap bermain dengan vokal, tahap 'cannonical babbling' (bermula pada umur enam bulan) dan tahap 'conversational babbling' yang bermula pada umur lebih kurang 10 bulan. Bayi belum pandai bercakap tetapi berupaya mengeluarkan berbagai-bagai bunyi melalui mulutnya. Bayi menangis, menguku seperti burung, menghembus, meludah dan banyak lagi bunyi yang sukar dijelaskan. Bebelan melibatkan penggunaan bunyi bahasa, khususnya suku kata vokal dan konsonan vokal, seperti /a/ ,/u/, /ma/, /gi/ dan /pa/. Pengulangan bunyi memberi bayi kualiti bunyi yang serupa dengan bahasa. contohnya: 'mama' ,'gigi' dan 'papa', terutama bunyi-bunyi yang melibatkan pola intonasi bahasanya. Sewaktu bebelan berterusan, bunyi yang dihasilkan oleh bayi semakin menghampiri bunyi bahasa yang ada dalam lingkungan persekitarannyaa.
Kata pertama kanak-kanak normal muncul ketika berumur empat bulan, 18 bulan atau pada umur yang lebih daripada itu. Secara purata, kanak-kanak sudah boleh menuturkan kata pertamanya sewaktu berumur 10 bulan. Apabila mencapai umur 12-18 bulan, kanak-kanak akan mula menggunakan bunyi atau satu kata untuk merujuk kepada sesuatu yang bermakna, misalnya bunyi 'kereta' yang bermaksud kanak-kanak tersebut mahu menaiki kereta.
Sebagai ibu bapa, seharusnya penting untuk mereka mengetahui tahap-tahap umur yang membolehkan anak-anak mereka berupaya untuk bertutur. Sebagai contohnya, ketika Ammar masih kecil, kakak saya akan menggunakan bahasa kanak-kanak untuk bertutur dengannya seperti 'mamam', 'bumbum', dan sebagainya yang bermaksud 'makan' dan tidur'. Tetapi, setelah Ammar menginjak usia setahun, kakak saya mula menggunakan bahasa standard ketika bercakap dengan anaknya seperti 'makan', 'mandi' dan sebagainya. Hal ini demikian kerana, jika kakak saya berterusan menggunakan bahasa kanak-kanak ketika usia Ammar semakin meningkat, bimbang Ammar akan terus menggunakan bahasa kanak-kanak pada masa akan datang. Bimbingan ibu bapa sangat penting terutama dalam mendidik anak-anak bertutur dengan baik. Jika ibu bapa tidak memainkan peranan mereka, sudah tentu anak-anak tidak akan berupaya untuk bertutur dengan baik walaupun usia mereka semakin meningkat. Hal ini juga akan mengakibatkan kanak-kanak mengalami kecelaruan berbahasa. Bak kata pepatah, 'melentur buluh biarlah dari rebungnya'. Jadi, renung-renungkanlah, dan selamat menjalankan tanggungjawab anda sebagai ibu bapa.
Sekian, terima kasih......
No comments:
Post a Comment