Saturday, 6 October 2012

Usah tersalah bicara!!

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera.

Alhamdulillah dengan izin Allah, demam saya sudah pun kebah, cuma ulser masih belum hilang lagi. Bila nak bercakap perit sangat, apatah lagi bila nak makan. Alhamdulillah, ujian kecil dari Allah. Kita sebagai manusia kena redha dengan setiap ujian yang diturunkan. Hari ini, saya tidak mahu bercerita berkenaan penyakit saya, tetapi entri blog saya pada kali ini adalah berkaitan dengan dialek Kelantan.

Nak dijadikan cerita, saya ada seorang kawan yang berasal dari Kelantan iaitu Gee dan dia merupakan teman serumah saya. Suatu hari, kawan saya dari Kedah telah membawa pulang buah mempelam, tetapi saya memanggil buah tersebut pelam. Dengan terujanya saya pun meluahkan keseronokkan saya apabila terlihat pelam yang masak ranum tersebut. Saya pun berkata "sedapnya kalau dapat makan pelam ni (dalam dialek Kelantan kononnya ingin menunjukkan kepakaran saya dalam berdialek kelantan) ".Tiba-tiba Gee menepuk belakang saya dengan kuat. Dia berkata "lucah la shima ni". Saya rasa nak naik angin je saat tu. sudahla ditampar dengan kuat, dituduh pula menyebut perkataan lucah.

Akhirnya setelah Gee bercerita dengan penuh penghayatan, barulah saya faham. Rupa-rupanya buah pelam membawa maksud yang berbeza bagi orang Kelantan. Terburai ketawa bila dapat tahu cerita yang sebenar. Selepas kejadian itu, saya begitu teruja untuk mempelajari dialek Kelantan kerana bimbang ditampar sekali lagi jika tersalah kata.

Akhir kata dari saya, tak rugi jika kita belajar dialek negeri lain. Ia bukan saja dapat memberi pengetahuan, bahkan dapat membantu kita jika berada di negeri orang. Justeru, renung-renungkan dan selamat beramal.

Sekian, terima kasih.

Friday, 5 October 2012

Pantang larang.. Opsss!!!

Assalamualaikum dan salam sejahtera

Anda semua mesti pernah dengar mengenai pantang larang datuk nenek kita dulu bukan? Jadi, entri blog saya pada kali ini adalah berkaitan dengan pantang larang. Antara pantang larang yang kerap kita dengar ialah:

i. Jangan menyanyi sambil masak, nanti kahwin lelaki tua.
ii. Jangan duduk atas bantal, nanti bisul.
iii. Jangan duduk dekat bendul pintu, nanti tak kahwin sampai tua.

Sebenarnya banyak lagi pantang larang yang sering diguna pakai oleh ibu-ibu kita dahulu, tetapi saya hanya dapat menyenaraikan tiga daripadanya sahaja kerana ada sesetengah pantang larang yang saya tidak ingat. jika diteliti semula, semua pantang larang itu kadang kala kelihatan seperti tidak logik bukan? Ya. memang tidak logik. Saya berpendapat sedemikian kerana saya telah membuat pemerhatian terhadap keluarga saya. Kalau dahulu, ketiga-tiga kakak saya memang suka menyanyi terutama ketika memasak. Tetapi, mereka tetap bertemu dengan jodoh mereka dan berkahwin.

Kedua, saya juga telah membuat uji kaji iaitu dengan duduk di atas bantal. Hasil kajian saya jelas mendapati bahawa duduk di atas bantal tidak mengakibatkan bisul. Justeru saya membuat kesimpulan sendiri  bahawa pantang larang sebegini bertujuan untuk mendidik masyarakat pada zaman dahulu untuk berkelakuan sopan. Zaman dahulu manusia mencipta pantang larang sendiri dalam mendisipilinkan anak-anak mereka. Contohnya, jika kita menyanyi sambil memasak akan mengakibatkan kita terleka dan masakan kita boleh menjadi hangit. Oleh sebab yang demikian, anak-anak tidak dibenarkan menyanyi di dapur.

Pantang larang ini juga bertujuan mendidik anak-anak untuk berkelakuan sopan. Bak kata orang, anak gadis akan kelihatan tidak sopan jika berada di bendul pintu rumah. Ianya kelihatan seperti anak-anak gadis itu hanya membuang masa tanpa berbuat apa-apa. Justeru, wujudlah pantang larang sebegini supaya anak gadis mereka takut jika tidak dinikahi orang. Apabila mereka takutkan sesuatu, sudah pasti mereka tidak akan mengulangi perbuatan yang sama lagi.

Pantang larang ini juga bertujuan mendidik anak-anak supaya menjaga kebersihan. Seperti yang kita ketahui, bantal sering dijadikan alas kepala dan bukannya alas punggung. Justeru, apabila dijadikan alas punggung akan mengakibatkan bantal kotor dan mendatangkan ketidakselesaan kepada pengguna bantal seterusnya. Pada pandangan saya, pantang larang sebegini ada kebaikannya jika diteliti secara mendalam walaupun pada hakikatnya ia kelihatan seakan tidak logik namun ia mempunyai maksud tersirat yang bermakna.

Akhir kata dari saya, yang baik jadikan teladan, yang buruk jadikan sempadan. Renung-renungkan dan selamat beramal.

Sekian, terima kasih..

Awasi bicaramu!!


Assalamualaikum dan salam sejahtera

Hari ini saya begitu teruja untuk berkongsi sesuatu peristiwa yang baru saya lihat sebentar tadi dengan anda semua. Ketika otak sedang memerah idea untuk melaksanakan tugasan saya ini, saya sempat melayari laman muka buka atau lebih dikenali dengan ‘facebook’. Sedang asyik melayari laman sesawang tersebut, mata saya tertancap pada status seorang junior saya yang terkenal dengan sikap santunnya satu ketika dahulu. Persepsi saya terus berubah tatkala membaca status Ana (bukan nama sebenar).

Apa yang memeranjatkan saya adalah bahasa yang digunakan Ana sangat kasar dan kesat tidak sesuai dengan perwatakannya yang sering dipuji guru-guru satu ketika dulu. Saya membuat kesimpulan bahawa Ana teramat marahkan teman lelakinya yang telah meminta supaya hubungan mereka diputuskan. Atas sebab yang demikian, Ana begitu marah lantas telah meluahkan ketidakpuasan hatinya itu di facebook. Antara status-status Ana yang sempat saya baca adalah berbunyi begini:

G mampus la ko syial. Babi r ko ni.
Muka babi cm ko ingt ak hadap sgt ke.
Ari ni kte ptus, sok ak bleh dpt yg good2 dri ko.
Ko tu muka cm syial, babi, haram. Hakkktuihhh.
Ambik kahak aku ni kt muka ko yg cm babi tu.

Alahai! Disebabkan cinta yang tak kesampaian, sanggup Ana mengenepikan sikap santunnya itu. Ke mana hilangnya harga diri seseorang wanita apabila dicemuh oleh orang sekeliling akibat ketelanjurannya ketika berbahasa. Wanita sering diperhatikan dari segi pemakaian, sikap, dan pertuturan mereka. Justeru, kita seharusnya menjaga pertuturan kita terutama di tempat umum. Seperti yang saya tekankan dalam entri saya yang lepas pertuturan kita sering diperhatikan. Jadi, tidak rugi jika kita bertutur dengan baik, kerana kita akan disukai orang, dihormati dan diteladani kelak.

Akhir kata dari saya, terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata badan binasa. Renung-renungkan dan selamat beramal. Teguran saya untuk anda bukan bererti marah, tetapi tegur saya menandakan saya sayang kalian semua.

Sekian, terima kasih..

Thursday, 4 October 2012

Bro vs Encik!!


Assalamualaikum dan salam satu Malaysia

Alhamdulillah syukur ke hadrat Illahi walaupun keadaan kesihatan yang tidak berapa baik, namun saya masih mampu melaksanakan tugasan saya ini. Bila seseorang itu sakit, InsyaAllah tuhan mengampunkan dosa-dosa kecilnya bukan? Semoga dosa-dosa kecil dan besar saya diampunkan Allah hendaknya. Entri blog saya pada kali ini adalah berkaitan dengan kata sapaan. Sebelum itu, saya begitu teruja untuk memberi contoh kata sapaan yang acapkali digunakan oleh orang zaman sekarang. Contohnya:

Situasi di warung
Si A : Bro. Ambil order
Si B: Ok bro...

Situasi di pasaraya
Si C : Tumpang Tanya kak, tandas dekat mana ye?
Si D : Adik belok je kiri. Nanti jumpa la tandas

Apabila diperhatikan situasi di atas, kelihatan agak tidak sopan untuk kita menggunakan kata sapaan sedemikian bukan? Sepatutnya, kita digalakkan menggunakan kata sapaan seperti cik, encik, tuan, puan dan sebagainya. Hal ini demikian kerana, ia lebih menunjukkan rasa hormat dan kelihatan lebih sopan berbanding penggunaan ‘bro’, ‘sis’, ’kak’ dan sebagainya. Jika kita acapkali menggunakan kata sapaan yang tidak sesuai, tidak mustahil suatu hari nanti kita akan menggunakannya untuk berinteraksi dengan orang lain yang mungkin lebih berpangkat atau berjawatan besar daripada kita.

Justeru, kita telah dididik daripada peringkat sekolah lagi supaya menggunakan kata sapaan yang sesuai untuk berinteraksi dengan orang yang tidak dikenali. Oleh itu, kita seharusnya mempraktikkan penggunaan kata sapaan ini dalam kehidupan seharian kita. Hal ini demikian kerana, ia akan membantu kita terutamanya ketika berada dalam situasi formal. Tidak rugi jika kita belajar sesuatu yang memberi manfaat kepada kita kerana ia akan membantu kita pada masa akan datang kelak.

Akhir kata dari saya, kesopanan bukan sahaja terletak pada budi pekerti, malahan kesopanan berbahasa juga sering diperhati. Renung-renungkanlah dan berbahasalah penuh kesopanan, kerana budi bahasa itu budaya kita.

Sekian, terima kasih...


Sindiran halus!!


Assalamualaikum dan salam perpaduan

Alhamdulillah syukur ke hadrat Illahi atas keizinannya saya masih lagi terus bernafas di atas bumi bertuah ini. Walaupun kesihatan tidak mengizinkan, saya gagahkan juga otak untuk memerah idea dan jari jemari untuk menaip tugasan saya ini. Entri blog saya pada kali ini mungkin tidak menarik seperti rakan-rakan yang lain, tetapi cukuplah sekadar dapat berkongsi pandangan dengan anda sekalian.

Apa yang ingin saya kongsikan dengan anda dalam entri blog saya pada kali ini adalah berkenaan dengan ‘sindiran halus’. Mungkin ramai yang menyedari atau pun ada juga yang tidak sedar bahawa ibu bapa kita sering menggunakan sindiran secara halus ini bukan? Sebagai contohnya apabila kita terjatuh, mesti ibu atau bapa kita akan berkata begini “ larilah lagi” atau “lari laju-laju lagi. Jatuh banyak kali barulah kuat”. Sindiran halus sebegini akan memberi kesan yang mendalam kepada diri seseorang dan dapat dijadikan sebagai peringatan. Oleh hal yang demikian, ibu bapa kita seringkali akan menggunakan sindiran halus sebagai teguran kepada anak-anak supaya terkesan di dalam hati mereka sekaligus menjadi pengajaran kepada mereka supaya tidak mengulangi perbuatan itu lagi.

Sindiran secara halus ini kadang kala mengandungi maksud tersirat dan tersurat yang perlu difahami secara mendalam supaya tidak disalah ertikan. Adakalanya, apabila kita menggunakan sindiran halus seperti “larilah lagi” ianya akan membawa dua maksud yang berbeza. Pertama, maksud sindiran tersebut seakan menggalakkan seseorang itu berlari lagi dan kedua membawa maksud akibat yang akan diterima oleh seseorang yang mesti akan terjatuh jika berlari. Justeru, intonasi suara penting ketika menggunakan sindiran halus ini supaya maksud yang ingin disampaikan itu jelas kepada pendengar.

Walaupun begitu, terdapat segelintir ibu bapa pada zaman ini yang tidak lagi menggunakan sindiran secara halus dalam menegur anak mereka. Sebaliknya, mereka lebih selesa memarahi anak mereka dan meluahkan secara langsung apa yang terbuku di hati mereka. Jika acapkali kita memarahi anak kita secara terusan, tidak mustahil anak kita akan menjadi degil dan tidak mendengar kata. Justeru, sindiran halus ini juga sangat penting dan sesuai digunakan dalam mendidik anak-anak kita.
Akhir kata dari saya, yang baik itu datang dari Allah, yang buruk itu datang daripada kekurangan saya sendiri. Justeru, yang baik kita ambil jadikan pengajaran, yang buruk kita jadikan sempadan. Renung-renungkan dan selamat beramal.

Sekian, terima kasih...

Sunday, 30 September 2012


Bahasa jiwa bangsa

Assalamualaikum dan salam perpaduan
Baru-baru ini saya ada menonton satu filem Melayu yang mendapat sambutan hangat daripada rakyat Malaysia. Filem berkaitan ‘Mat Motor’ memang menjadi kegilaan golongan remaja kerana aksi-aksi lasak yang ditonjolkan, artis-artis terkenal yang mantap dan juga unsur jenaka yang terdapat dalam cerita tersebut. Pada mulanya, saya tidak berminat untuk menonton filem tersebut kerana saya rasakan filem berkaitan permotoran tidak kena dengan jiwa saya. Namun, disebabkan perasaan bosan yang menguasai diri, saya gagahkan juga diri untuk menonton filem tersebut.
Apa yang ingin saya ketengahkan dalam entri blog saya pada kali ini adalah berkaitan peribahasa yang digunakan dalam filem tersebut. Di dalam cerita tersebut, terdapat seorang watak utama yang mengubah peribahasa sebenar yang berbunyi “kalau takut di lambung ombak, jangan berumah di tepi longkang”. Seperti yang kita ketahui, peribahasa yang sebenar adalah “jika takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai”. Filem ini jelas menonjolkan unsur yang tidak baik kerana telah menggubah peribahasa sebenar kepada peribahasa rekaan mereka sendiri. Filem-filem pada masa kini sangat berpengaruh kepada masyarakat pada hari ini, namun jika mereka memaparkan unsur-unsur negatif bukankah ia memberi kesan buruk kepada penonton sekaligus akan menjadi ikutan yang tidak baik kepada mereka.
Bahasa yang digunakan di dalam filem itu juga agak bercelaru dan tidak mencerminkan bahasa sebenar rakyat Malaysia seperti:
i.                    Lu g mam la bro yang bermaksud ‘awak pergi mati lah’
ii.                  Lu kasi gua panas yang bermaksud ‘awak buat saya marah’
iii.           Lu memang sial la. Lu datang hadap gua sikalang yang bermaksud ‘ awak memang sial. Awak datang jumapa saya sekarang’
Jika filem-filem yang dihasilkan sekarang tidak mementingkan berkaitan penggunaan bahasa, ini jelas akan memberi kesan buruk kepada penonton kerana akan menjadi ikutan mereka kelak. Jika dilihat disekeliling kita, ramai remaja yang sudah terpengaruh dengan bahasa pasar pada hari ini. Hal ini dapat kita lihat terutama ketika remaja sekarang bercakap dengan rakan mereka. Kebanyakkannya, mereka akan menggunakan perkataan ‘lu’ dan ‘gua’ sebagai ganti kepada ‘awak’ dan ‘saya’. Bukankan ini jelas memberi kesan yang tidak sihat kepada masyarakat pada hari ini? Bukankah ‘bahasa itu nadi bangsa’? Justeru, tonjolkanlah sikap sayang pada bahasa kita. Jangan disebabkan kita terlalu taksub untuk mengaut keuntungan sehingga terlupa untuk menerapkan nilai-nilai murni untuk diteladani oleh masyarakat pada hari ini. Akhir kata dari saya “jaga diri, hiasi peribadi. Jaga bahasa nadi bangsa”. Renung-renungkan dan selamat beramal.
Sekian. Terima kasih

Dialek kita dialek bersama

Assalamualaikum dan salam 1 Malaysia
Alhamdulillah dan syukur ke hadrat Illahi kerana memberi kesempatan untuk saya terus hidup di atas bumi bertuah ini. Pepatah ada mengatakan ‘tak kenal maka tak cinta’. Justeru, hari ini saya begitu teruja untuk membincangkan berkenaan dialek utara. Terdapat sesetengah orang yang akan mengatakan bahawa orang utara ini sangat kasar dari segi pertuturannya. Opsss! Tunggu dulu ya. Jangan terburu-buru membuat kesimpulan awal tentang sesuatu yang baru kita ketahui tanpa mengkajinya terlebih dahulu.
Mungkin jika dilihat dari satu sudut, dialek utara kelihatan agak kesat berbanding dialek negeri lain. Namun jika diteliti secara mendalam, dialek utara ini tidaklah sekasar dan kesat seperti yang dikatakan oleh sesetengah pihak. Sebagai contohnya:
i.                    Mengkala bermaksud bila
ii.                  Mentekedarah bermaksud makan
iii.                Baloq liat bermaksud malas
iv.                Sasau bermaksud terhegeh-hegeh
v.                  Matngot bermaksud lembab
Penggunaan dialek ini menunjukkan hubungan akrab yang wujud dalam masyarakat. Mereka tidak akan berkecil hati atau tersinggung jika orang lain bercakap menggunakan dialek tersebut contohnya “lama tak kelih hang. Aku ingatkan hang mampuih dah” yang bermaksud “lama tidak berjumpa dengan awak. Saya sangkakan awak sudah mati”. Jika ditafsir maksud ayat tersebut, ia kelihatan agak kasar bukan? Tetapi jangan risau, mereka hanya akan bertutur sedemikian dengan orang yang rapat serta mempunyai hubungan kekeluargaan dengan mereka sahaja.
Jika bertutur dengan orang asing, mereka akan cuba menggunakan bahasa yang lembut supaya tidak akan meyinggung perasaan orang lain. Justeru, tidak rugi sekiranya kita mempelajari pelbagai dialek asing kerana ini dapat membantu jika kita merantau ke tempat orang lain. Akhir kata dari saya ‘cintai bahasa, cintai dialek kita’. Renung-renungkanlah dan selamat belajar dialek utara.
Sekian. Terima kasih

Bahasa Melayu VS bahasa Inggeris

Assalamualaikum dan salam 1 Malaysia..
Ketika dalam perjalanan untuk ke pasar malam semalam, saya telah terdengar perbualan beberapa orang remaja yang bercerita pelbagai perkara. Justeru, pada hari ini saya akan membincangkan sesuatu perkara yang tanpa kita sedari sering berlaku dalam percakapan kita seharian.
Situasi pertama
Si E: Kau nak pergi mana F?
Si F: Keluar beli paper kejap. Why?
Si E: If  kau keluar, kau jangan lupa tutup grill tu.

Situasi kedua
Si A: Jom tengok movie
Si B: Movie apa?
Si A: Salam cinta. Aku dengar orang cakap movie tu best
Si B: Alright. Lets go.

Situasi ketiga
Si C: Kak, carrot ada tak?
Si D: Carrot ada dik. Nak banyak mana?
Si C: Nak dua batang je.

Jika dilihat daripada situasi di atas, apa yang ingin saya ketengahkan pada hari ini adalah berkaitan dengan percampuran bahasa Inggeris dalam pertuturan seharian. Falsafah ada mengatakan bahawa ‘bahasa nadi bangsa’, namun pada hari ini dapat dilihat bahawa sesebuah masyarakat itu tidak berusaha untuk memartabatkan bahasa mereka sendiri. Jika ditanya mengapa anda berbahasa sedemikian? Mereka akan mengatakan bahawa mereka cuba memantapkan bahasa Inggeris mereka. Jika anda cuba memantapkan bahasa Inggeris dengan cara sedemikian, jawapan saya sudah semestinya ‘cara anda salah’. Apa gunanya kita cuba memantapkan bahasa Inggeris, sedangkan bahasa Melayu sendiri makin terhakis?
Tidak salah untuk kita memantapkan bahasa Inggeris kita, tetapi biarlah kena pada caranya. Cuba anda perhatikan negara-negara maju di dunia seperti USA, Jepun, dan sebagainya. Adakah mereka mencampur adukkan bahasa ketika bertutur? Sudah semestinya tidak bukan? Walau bagaimanapun, negara mereka tetap maju dan berdiri megah di mata dunia. Justeru, marilah kita bersama-sama memartabatkan bahasa kita supaya kita juga mampu berdiri megah seiring dengan negara maju yang lain. Akhir kata dari saya, “tegur itu bukan bererti marah, tetapi sebagai tanda sayang saya untuk anda”. Renung-renungkanlah dan selamat memartabatkan bahasa Melayu.
Sekian, terima kasih.