Friday, 28 September 2012

Usah rosakkan bahasa kita!!



Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Kali kedua menulis tugasan melalui blog sangat mendebarkan saya. Ye la, tugasan inilah yang akan menentukan markah untuk subjek Sosiolinguistik. Sudah semestinya ramai yang mahukan A dalam setiap tugasannya bukan? Saya juga seperti kalian. Justeru, otak mula ligat mencari idea untuk melaksanakan tugasan ini. Dalam kesibukan mencari idea, saya sempat lagi melayari laman sesawang iaitu ‘Facebook’ dan..... Ya, saya sudah mendapat idea untuk selesaikan tugasan saya kali ini.

Ketika saya sedang sibuk melayari 'facebook’, saya telah terbaca satu kenyataan seorang remaja berusia lingkungan 19 tahun. Saya mengambil masa beberapa minit untuk memahami kenyataan remaja tersebut . Hal ini demikian kerana, remaja tersebut menggunakan bahasa yang sukar untuk saya fahami yang berbunyi begini, “itew ase cam dye dh x cuke dgn itew. Itew x twu npew dye dh bnci n ma’ah kn itew. Itew cdih la twan2. Itew cygkn dye, tpi npew dye bncikn itew. Tpon xjwb, mcj xbls. Itew cdih cgt2”. Memang susah nak faham bukan? Berkali-kali baca, masuk ‘google translate’ pun mungkin tak boleh nak kesan apa maksud kenyatan tersebut. Tepuk dahi berkali-kali. Habis rosak bahasa kita. Akhirnya, selesai baca banyak kali barulah saya faham apa yang remaja itu cuba maksudkan iaitu ‘kita rasa macam dia dah tak suka dengan kita. Kita tak tahu kenapa dia dah benci dan marahkan kita. Kita sedihlah kawan-kawan. Kita sayangkan dia, tapi kenapa dia bencikan kita. Telefon tak jawab, mesej tak balas. Kita sedih sangat-sangat’. Teburai ketawa bila dah faham maksud remaja tersebut. Alahai dik! Umur dah 19 tahun, tetapi masih lagi menggunakan bahasa kanak-kanak yang mungkin kanak-kanak sekarang pun sudah tidak menggunakan bahasa tersebut.

Saya tidak tahu apa motif remaja tersebut menggunakan bahasa sedemikian dalam berkomunikasi dengan orang sekeliling. Otak ligat mencari jawapan untuk persoalan ini. Haishh! Susah betul. Jawab soalan peperiksaan pun tak susah macam ini. Sekali lagi tepuk dahi. Akhirnya saya membuat kesimpulan sendiri. Pertama, mungkin remaja tersebut cuba menarik perhatian orang ramai supaya membaca status-satatusnya di facebook? Kedua, mungkin remaja tersebut mengalami kecelaruan berbahasa? Ketiga, mungkin juga remaja tersebut telah dididik untuk berbicara dengan menggunakan bahasa kanak-kanak. Mungkin juga bukan? Tapi, apa yang saya ingin tekankan adalah kesan penggunaan bahasa ini di masa akan datang. Bukankah bahasa sebegini jelas merosakkan bahasa Melayu yang menjadi bahasa utama di Malaysia? Pada pendapat saya, ia jelas merosakkan bahasa kebangsaan kita yang diagung-agungkan sejak dulu lagi. Ramai tokoh bahasa di Malaysia bersusah payah mempertahankan bahasa kita. Tapi yang merosakkan sendiri bahasa kita adalah bangsa Melayu sendiri. Bukankan itu sangat memalukan. Kedua, ini jelas memberi kesan dalam penulisan karangan atau sebagainya. Jika kita acapkali menggunakan bahasa sedemikian, tidak mustahil kita akan turut menggunakan bahasa tersebut dalam penulisan kita. Jadi, apa gunanya tokoh-tokoh bahasa cuba mempertahankan bahasa Melayu sedangkan tanpa disedari kita sendiri yang merosakkan bahasa tersebut. Justeru, kita perlulah berhati-hati semasa menggunakan bahasa kita, kerana tidak mustahil orang lain akan meniru apa yang kita lakukan. Jika kita sayangkan bahasa kita, lakukan sesuatu sebelum terlambat. Bak kata pepatah “sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya. Akhir kata, renung-renungkan dan selamat beramal..


Contoh bahasa kanak-kanak yang berleluasa di facebook









No comments:

Post a Comment