Monday, 15 October 2012

Mai belajaq dialek utara

Assalamualaikum w.b.t

Entri blog saya kali ini adalah 'mai belajaq dialek utara'. Hari ini saya akan menceritakan serba sedikit barkaitan kata ganda yang sering digunakan oleh orang-orang utara seperti Kedah, Perlis dan Pulau Pinang. Orang lama utara menggandakan perkataan bagi menguatkan lagi maksud perkataan tersebut. Contohnya:

*Merah menyala, merah ang, merah meghembong - merah terang
*Kuning melesin - kuning terang
*Hijau meghengau -hijau terang
*Kelabu 'sa' - kelabu asap
*Masin piang -tersangat masin
*Manih melecaih - tersangat manis
*Pait berdengung - tersangat pahit
*Sejuk gedi - sejuk sangat
*Panaih lit lit -panas sangat
*Tawaq heybiaq - tawar sangat
*Putih melepak - tersangat putih
*Kecik konet - kecil sangat
*Hitam meghelit - hitam berkilat
*Baloq liat - tersangat malas
*Tinggi meghenjong - tersangat tinggi

Filem yang memaparkan penggunaan dialek utara iaitu dialek Pulau Pinang

Dialek pelbagai negeri

Asslamualaikum w.b.t

Hari ini saya begitu teruja untuk menulis entri blog saya ini yang berkaitan dengan pelbagai dialek seperti dialek Kedah, Perak, Negeri Sembilan, Sabah dan sebagainya. Apabila kita mempunyai ramai sahabat dari pelbagai negeri, sudah semestinya kita akan dapat mempelajari sesuatu yang baru berkaitan dengan bahasa, budaya, makanan dan sebagainya daripada mereka. Justeru, hari ini saya akan berkongsi serba sedikit mengenai dialek yang telah saya pelajari daipada mereka. Contohnya:

Dialek utara (Pulau Pinang, Kedah, Perlis)
* "Hang mai la sat. Aku nak ajak ang pi nat sat" yang bermaksud "awak datang sini sekejap. Saya nak ajak awak pergi pasar".

Dialek Perak
*"Teman suka ghomah tepi pante" yang bermaksud "saya suka rumah tepi pantai".

Dialek Kelantan
*"Mu nak gi make mano?" yang bermaksud "awak nak pergi makan di mana".

Dialek Terengganu
*"Ali keracunang makanang sebab makang ikang sarding dalam ting" yang bermaksud "Ali keracunan makanan sebab makan ikan sardin dalam tin".

Dialek Negeri Sembilan
*"Ekau ni torai bongok kat eden" yang bermaksud "awak ni cuba tipu saya".

Dialek Johor
*"Tolong ambilkan gebor dalam gerobok" yang bermaksud "tolong ambilkan selimut dalam almari".

Dialek Melaka
*"Ulau itu besau" yang bermaksud "ular itu besar".

Dialek Sarawak
*"Auk, kamek temu pusak disiya" yang bermaksud "ya, kami jumpa kucing di situ".

Dialek Sabah
*"Mengapa can ko ani" yang bermaksud "apa kena dengan awak ni".

PerlisKedahPerakPulau PinangKelantanTerengganuSabahJohorMelakaNegeri Sembilan

Kata ganda Kelantan






Menurut rakan saya, dalam pertuturan seharian, masyarakat Kelantan kerap menggunakan kata ganda daerah dengan tujuan untuk menunjukkan darjah paling. Di sisni saya sertakan contoh kata ganda yang telah diberitahu oleh rakan saya yang berasal dari Kelantan. Cuba lihat contoh kata ganda Klate di bawah:-
·         gege-rioh = suasana amat bising > hingar-bingar
·         balik-kue = keadaan yang tidak terurus > lintang-pukang
·         bekak-beking = keadaan yang banyak bengkak
·         masin-perak = terlalu masin
·         biru-ketu = biru tua, terlalu biru warnanya
·         kemah-kemin = kejap, pegangan/pautan yang kuat/erat
·         keras-kejun = terlalu keras
·         tawa-hebe = terlalu tawar/ tak ada rasa apa-apa
·         kunin-nehe = terlalu kuning
·         bulat-gete = terlalu bulat
·         belok-bleka = bengkang bengkok
·         puteh-sepo = terlalu putih/ bersih
·         merah-nyela = merah cerah / merah terang
·         gege-regok = terlalu bising
·         papo-kedano = terlalu miskin
·         pahit-lepe = sangat pahit
·         manis-leting = terlalu manis
·         busuk-bangar = terlalu busuk


Penasihat saya dalam mengenali dialek Kelantan

Dialek Kelantan pula...

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Entri blog saya hari ini adalah berkaitan dengan dialek Kelantan. Acapkali saya mendengar perkataan 'gedeber' dan 'jeleber' digunakan oleh kakak ipar, anak saudara dan rakan-rakan saya. Saya menyangkakan bahawa 'gedeber' itu membawa maksud 'berdebar' dan 'jeleber' itu bermaksud 'jelir'. Rupa-rupanya sangkaan saya jauh meleset. Justeru, hari ini saya akan menerangkan maksud sebenar perkataan tersebut berdasarkan penerangan yang telah diberikan kakak ipar saya sebelum ini.

Maksud 'gedeber' adalah bermaksud samseng, degil, sombong atau tidak makan saman (tidak mendengar kata). 'Gedeber' juga membawa maksud kendur atau kecut. Contohnya 'kulit muka sudah gedeber kerana usia sudah lanjut'. Contoh ayat yang menggunakan perkataan 'gedeber' dalam dialek kelantan ialah:

'Guano mu gedebe berdooh? Mu nak tra numbuk aku?' yang bermaksud 'kenapa kamu samseng sangat? Kamu nak rasa penumbuk aku?'

'Jeleber' atau 'jelebe' pula membawa maksud selekeh atau cara berpakaian yang tidak kemas. 'Jeleber' juga membawa maksud tidak kemas atau kusut masai. Contohnya:

'Pakayemu bakpo napak jeleber' yang bermaksud 'kenapa pakaian kamu tidak nampak kemas'.

Ibarat ketam mengajar anaknya berjalan lurus!!

Assalamualaikum w.b.t

Alhamdulillah dan syukur ke hadrat Illahi kerana dengan izinnya dapat saya bernafas di atas bumi bertuah ini sekaligus dapat menyiapkan tugasan saya kali ini. Entri blog saya pada hari ini adalah berkaitan dengan Persidangan Antarabangsa Memartabatkan Bahasa Melayu dan pelancaran bulan bahasa. 

Saya merupakan AJK yang bertugas untuk mengagihkan makanan kepada tetamu-tetamu VIP yang terdiri daripada para pembentang yang datang dari pelbagai tempat seperti Singapura, Brunei dan terdapat juga pembentang tempatan seperti pensyarah universiti dan sebagainya. Apa yang ingin saya tekankan adalah, sikap pembentang tersebut yang begitu bersemangat membentangkan pandapat mereka dalam memartabatkan bahasa Melayu sedangkan mereka sendiri bertutur dalam bahasa Inggeris sesama mereka.

Justeru, apa gunanya jika kita hanya bercakap sedangkan kita tidak melaksanakannya. Hal ini dapatlah diibaratkan seperti ketam yang mengajar anakknya untuk berjalan lurus, sedangkan ketam tersebut berjalan senget. Pesanan saya ialah, jika kita ingin mengajak orang untuk memartabatkan bahasa Melayu, diri sendiri juga perlu melaksanakannya. Tunjukkanlah cara anda memartabatkan bahasa Melayu itu sendiri.

Akhir kata daripada saya, janganlah sesekali kita menjadi seperti ketam. Renung-renungkan dan selamat memartabatkan bahasa Melayu.

Sekian, terima kasih..