Thursday, 11 October 2012

Kerani ohh kerani!!


Assalamualaikum w.b.t

Petang tadi, saya bersama-sama kawan berkunjung ke fakulti bahasa untuk mengambil sijil dekan. Langkah di atur penuh hemah seperti biasa. Lantas tangan mengetuk pintu pejabat tersebut lalu, dengan diiringi salam dan senyuman manis saya hulurkan kepada kerani yang bertugas. Sayangnya, salam saya tidak bersahut, senyuman tidak dibalas sebaliknya saya dilemparkan dengan jelingan tajam. Zuppppp... hati tiba-tiba tersentak dengan perilaku kerani tersebut. Berat sangatkah untuk menjawab salam seseorang?

Tiba-tiba, kerani tersebut bertanya dengan angkuhnya “datang sini nak apa?”. Saya seperti biasa menjawab penuh berhemah tatkala berbicara dengan orang yang lebih berumur daripada saya “saya dan kawan-kawan datang nak ambil sijil dekan”. Kerani tersebut membalas “semester berapa? Kalau semester lima kerani yang uruskan kamu tak ada. Kalau nak tunggu dia lama lagi, dia pergi makan”. Saya lantas menjawab “oh. Tak apa la cik,kami tunggu je la”. Kerani tersebut menjeling tajam sekali lagi lantas berkata “kalau nak tunggu, tunggu kat luar. Jangan tunggu di dalam”.

Hati tiba-tiba menjadi panas dengan sikap kerani tersebut. Sudahlah tidak menjawab salam saya, bercakap pula penuh keangkuhan, senyum pun tidak dibalas. Jika diikutkan hati, mahu saja saya memerli kerani tersebut, tapi nasihat-nasihat mak masih kuat diingatan. Mak pernah berpesan ‘hidup ini tak perlu sombong selagi kaki kita masih berpijak di bumi Allah. Kalau kita sombong dengan orang, kelak kita tak akan senang di dunia yang sementara ini’.

Lantas saya dan rakan mengambil keputusan membatalkan hasrat kami untuk mengambil sijil tersebut. Cuma, apa yang ingin saya tekankan dalam entri blog saya adalah, budi bahasa tu kan budaya kita.  Jadi, tonjolkanlah sifat berbudi bahasa. Tak perlu riak, tak perlu menyombong dengan orang. Allah beri mulut untuk kita bercakap sesuatu benda yang mendatangkan kebaikan, jadi apa salahnya jika kita menjawab salam. Kalau Allah menarik nikmat kita untuk bercakap macam mana? Bak kata mak saya “masa tu nak menyesai pun tak guna”.

Justeru, hidup ini pinjaman semata-mata. Jika hari ini kita sombong dengan orang, tidak mustahil esok pasti ada yang sombong dengan kita kelak. Senyum-senyumlah selalu. Akhir kata, renung-renungkan dan selamat beramal.

Sekian, terima kasih



No comments:

Post a Comment