Saturday, 6 October 2012

Usah tersalah bicara!!

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera.

Alhamdulillah dengan izin Allah, demam saya sudah pun kebah, cuma ulser masih belum hilang lagi. Bila nak bercakap perit sangat, apatah lagi bila nak makan. Alhamdulillah, ujian kecil dari Allah. Kita sebagai manusia kena redha dengan setiap ujian yang diturunkan. Hari ini, saya tidak mahu bercerita berkenaan penyakit saya, tetapi entri blog saya pada kali ini adalah berkaitan dengan dialek Kelantan.

Nak dijadikan cerita, saya ada seorang kawan yang berasal dari Kelantan iaitu Gee dan dia merupakan teman serumah saya. Suatu hari, kawan saya dari Kedah telah membawa pulang buah mempelam, tetapi saya memanggil buah tersebut pelam. Dengan terujanya saya pun meluahkan keseronokkan saya apabila terlihat pelam yang masak ranum tersebut. Saya pun berkata "sedapnya kalau dapat makan pelam ni (dalam dialek Kelantan kononnya ingin menunjukkan kepakaran saya dalam berdialek kelantan) ".Tiba-tiba Gee menepuk belakang saya dengan kuat. Dia berkata "lucah la shima ni". Saya rasa nak naik angin je saat tu. sudahla ditampar dengan kuat, dituduh pula menyebut perkataan lucah.

Akhirnya setelah Gee bercerita dengan penuh penghayatan, barulah saya faham. Rupa-rupanya buah pelam membawa maksud yang berbeza bagi orang Kelantan. Terburai ketawa bila dapat tahu cerita yang sebenar. Selepas kejadian itu, saya begitu teruja untuk mempelajari dialek Kelantan kerana bimbang ditampar sekali lagi jika tersalah kata.

Akhir kata dari saya, tak rugi jika kita belajar dialek negeri lain. Ia bukan saja dapat memberi pengetahuan, bahkan dapat membantu kita jika berada di negeri orang. Justeru, renung-renungkan dan selamat beramal.

Sekian, terima kasih.

No comments:

Post a Comment