Sunday, 30 September 2012


Bahasa jiwa bangsa

Assalamualaikum dan salam perpaduan
Baru-baru ini saya ada menonton satu filem Melayu yang mendapat sambutan hangat daripada rakyat Malaysia. Filem berkaitan ‘Mat Motor’ memang menjadi kegilaan golongan remaja kerana aksi-aksi lasak yang ditonjolkan, artis-artis terkenal yang mantap dan juga unsur jenaka yang terdapat dalam cerita tersebut. Pada mulanya, saya tidak berminat untuk menonton filem tersebut kerana saya rasakan filem berkaitan permotoran tidak kena dengan jiwa saya. Namun, disebabkan perasaan bosan yang menguasai diri, saya gagahkan juga diri untuk menonton filem tersebut.
Apa yang ingin saya ketengahkan dalam entri blog saya pada kali ini adalah berkaitan peribahasa yang digunakan dalam filem tersebut. Di dalam cerita tersebut, terdapat seorang watak utama yang mengubah peribahasa sebenar yang berbunyi “kalau takut di lambung ombak, jangan berumah di tepi longkang”. Seperti yang kita ketahui, peribahasa yang sebenar adalah “jika takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai”. Filem ini jelas menonjolkan unsur yang tidak baik kerana telah menggubah peribahasa sebenar kepada peribahasa rekaan mereka sendiri. Filem-filem pada masa kini sangat berpengaruh kepada masyarakat pada hari ini, namun jika mereka memaparkan unsur-unsur negatif bukankah ia memberi kesan buruk kepada penonton sekaligus akan menjadi ikutan yang tidak baik kepada mereka.
Bahasa yang digunakan di dalam filem itu juga agak bercelaru dan tidak mencerminkan bahasa sebenar rakyat Malaysia seperti:
i.                    Lu g mam la bro yang bermaksud ‘awak pergi mati lah’
ii.                  Lu kasi gua panas yang bermaksud ‘awak buat saya marah’
iii.           Lu memang sial la. Lu datang hadap gua sikalang yang bermaksud ‘ awak memang sial. Awak datang jumapa saya sekarang’
Jika filem-filem yang dihasilkan sekarang tidak mementingkan berkaitan penggunaan bahasa, ini jelas akan memberi kesan buruk kepada penonton kerana akan menjadi ikutan mereka kelak. Jika dilihat disekeliling kita, ramai remaja yang sudah terpengaruh dengan bahasa pasar pada hari ini. Hal ini dapat kita lihat terutama ketika remaja sekarang bercakap dengan rakan mereka. Kebanyakkannya, mereka akan menggunakan perkataan ‘lu’ dan ‘gua’ sebagai ganti kepada ‘awak’ dan ‘saya’. Bukankan ini jelas memberi kesan yang tidak sihat kepada masyarakat pada hari ini? Bukankah ‘bahasa itu nadi bangsa’? Justeru, tonjolkanlah sikap sayang pada bahasa kita. Jangan disebabkan kita terlalu taksub untuk mengaut keuntungan sehingga terlupa untuk menerapkan nilai-nilai murni untuk diteladani oleh masyarakat pada hari ini. Akhir kata dari saya “jaga diri, hiasi peribadi. Jaga bahasa nadi bangsa”. Renung-renungkan dan selamat beramal.
Sekian. Terima kasih

No comments:

Post a Comment