Sunday, 30 September 2012


Dialek kita dialek bersama

Assalamualaikum dan salam 1 Malaysia
Alhamdulillah dan syukur ke hadrat Illahi kerana memberi kesempatan untuk saya terus hidup di atas bumi bertuah ini. Pepatah ada mengatakan ‘tak kenal maka tak cinta’. Justeru, hari ini saya begitu teruja untuk membincangkan berkenaan dialek utara. Terdapat sesetengah orang yang akan mengatakan bahawa orang utara ini sangat kasar dari segi pertuturannya. Opsss! Tunggu dulu ya. Jangan terburu-buru membuat kesimpulan awal tentang sesuatu yang baru kita ketahui tanpa mengkajinya terlebih dahulu.
Mungkin jika dilihat dari satu sudut, dialek utara kelihatan agak kesat berbanding dialek negeri lain. Namun jika diteliti secara mendalam, dialek utara ini tidaklah sekasar dan kesat seperti yang dikatakan oleh sesetengah pihak. Sebagai contohnya:
i.                    Mengkala bermaksud bila
ii.                  Mentekedarah bermaksud makan
iii.                Baloq liat bermaksud malas
iv.                Sasau bermaksud terhegeh-hegeh
v.                  Matngot bermaksud lembab
Penggunaan dialek ini menunjukkan hubungan akrab yang wujud dalam masyarakat. Mereka tidak akan berkecil hati atau tersinggung jika orang lain bercakap menggunakan dialek tersebut contohnya “lama tak kelih hang. Aku ingatkan hang mampuih dah” yang bermaksud “lama tidak berjumpa dengan awak. Saya sangkakan awak sudah mati”. Jika ditafsir maksud ayat tersebut, ia kelihatan agak kasar bukan? Tetapi jangan risau, mereka hanya akan bertutur sedemikian dengan orang yang rapat serta mempunyai hubungan kekeluargaan dengan mereka sahaja.
Jika bertutur dengan orang asing, mereka akan cuba menggunakan bahasa yang lembut supaya tidak akan meyinggung perasaan orang lain. Justeru, tidak rugi sekiranya kita mempelajari pelbagai dialek asing kerana ini dapat membantu jika kita merantau ke tempat orang lain. Akhir kata dari saya ‘cintai bahasa, cintai dialek kita’. Renung-renungkanlah dan selamat belajar dialek utara.
Sekian. Terima kasih

No comments:

Post a Comment