Thursday, 4 October 2012

Bro vs Encik!!


Assalamualaikum dan salam satu Malaysia

Alhamdulillah syukur ke hadrat Illahi walaupun keadaan kesihatan yang tidak berapa baik, namun saya masih mampu melaksanakan tugasan saya ini. Bila seseorang itu sakit, InsyaAllah tuhan mengampunkan dosa-dosa kecilnya bukan? Semoga dosa-dosa kecil dan besar saya diampunkan Allah hendaknya. Entri blog saya pada kali ini adalah berkaitan dengan kata sapaan. Sebelum itu, saya begitu teruja untuk memberi contoh kata sapaan yang acapkali digunakan oleh orang zaman sekarang. Contohnya:

Situasi di warung
Si A : Bro. Ambil order
Si B: Ok bro...

Situasi di pasaraya
Si C : Tumpang Tanya kak, tandas dekat mana ye?
Si D : Adik belok je kiri. Nanti jumpa la tandas

Apabila diperhatikan situasi di atas, kelihatan agak tidak sopan untuk kita menggunakan kata sapaan sedemikian bukan? Sepatutnya, kita digalakkan menggunakan kata sapaan seperti cik, encik, tuan, puan dan sebagainya. Hal ini demikian kerana, ia lebih menunjukkan rasa hormat dan kelihatan lebih sopan berbanding penggunaan ‘bro’, ‘sis’, ’kak’ dan sebagainya. Jika kita acapkali menggunakan kata sapaan yang tidak sesuai, tidak mustahil suatu hari nanti kita akan menggunakannya untuk berinteraksi dengan orang lain yang mungkin lebih berpangkat atau berjawatan besar daripada kita.

Justeru, kita telah dididik daripada peringkat sekolah lagi supaya menggunakan kata sapaan yang sesuai untuk berinteraksi dengan orang yang tidak dikenali. Oleh itu, kita seharusnya mempraktikkan penggunaan kata sapaan ini dalam kehidupan seharian kita. Hal ini demikian kerana, ia akan membantu kita terutamanya ketika berada dalam situasi formal. Tidak rugi jika kita belajar sesuatu yang memberi manfaat kepada kita kerana ia akan membantu kita pada masa akan datang kelak.

Akhir kata dari saya, kesopanan bukan sahaja terletak pada budi pekerti, malahan kesopanan berbahasa juga sering diperhati. Renung-renungkanlah dan berbahasalah penuh kesopanan, kerana budi bahasa itu budaya kita.

Sekian, terima kasih...


No comments:

Post a Comment