Thursday, 4 October 2012

Sindiran halus!!


Assalamualaikum dan salam perpaduan

Alhamdulillah syukur ke hadrat Illahi atas keizinannya saya masih lagi terus bernafas di atas bumi bertuah ini. Walaupun kesihatan tidak mengizinkan, saya gagahkan juga otak untuk memerah idea dan jari jemari untuk menaip tugasan saya ini. Entri blog saya pada kali ini mungkin tidak menarik seperti rakan-rakan yang lain, tetapi cukuplah sekadar dapat berkongsi pandangan dengan anda sekalian.

Apa yang ingin saya kongsikan dengan anda dalam entri blog saya pada kali ini adalah berkenaan dengan ‘sindiran halus’. Mungkin ramai yang menyedari atau pun ada juga yang tidak sedar bahawa ibu bapa kita sering menggunakan sindiran secara halus ini bukan? Sebagai contohnya apabila kita terjatuh, mesti ibu atau bapa kita akan berkata begini “ larilah lagi” atau “lari laju-laju lagi. Jatuh banyak kali barulah kuat”. Sindiran halus sebegini akan memberi kesan yang mendalam kepada diri seseorang dan dapat dijadikan sebagai peringatan. Oleh hal yang demikian, ibu bapa kita seringkali akan menggunakan sindiran halus sebagai teguran kepada anak-anak supaya terkesan di dalam hati mereka sekaligus menjadi pengajaran kepada mereka supaya tidak mengulangi perbuatan itu lagi.

Sindiran secara halus ini kadang kala mengandungi maksud tersirat dan tersurat yang perlu difahami secara mendalam supaya tidak disalah ertikan. Adakalanya, apabila kita menggunakan sindiran halus seperti “larilah lagi” ianya akan membawa dua maksud yang berbeza. Pertama, maksud sindiran tersebut seakan menggalakkan seseorang itu berlari lagi dan kedua membawa maksud akibat yang akan diterima oleh seseorang yang mesti akan terjatuh jika berlari. Justeru, intonasi suara penting ketika menggunakan sindiran halus ini supaya maksud yang ingin disampaikan itu jelas kepada pendengar.

Walaupun begitu, terdapat segelintir ibu bapa pada zaman ini yang tidak lagi menggunakan sindiran secara halus dalam menegur anak mereka. Sebaliknya, mereka lebih selesa memarahi anak mereka dan meluahkan secara langsung apa yang terbuku di hati mereka. Jika acapkali kita memarahi anak kita secara terusan, tidak mustahil anak kita akan menjadi degil dan tidak mendengar kata. Justeru, sindiran halus ini juga sangat penting dan sesuai digunakan dalam mendidik anak-anak kita.
Akhir kata dari saya, yang baik itu datang dari Allah, yang buruk itu datang daripada kekurangan saya sendiri. Justeru, yang baik kita ambil jadikan pengajaran, yang buruk kita jadikan sempadan. Renung-renungkan dan selamat beramal.

Sekian, terima kasih...

No comments:

Post a Comment