Anda semua mesti pernah dengar mengenai pantang larang datuk nenek kita dulu bukan? Jadi, entri blog saya pada kali ini adalah berkaitan dengan pantang larang. Antara pantang larang yang kerap kita dengar ialah:
i. Jangan menyanyi sambil masak, nanti kahwin lelaki tua.
ii. Jangan duduk atas bantal, nanti bisul.
iii. Jangan duduk dekat bendul pintu, nanti tak kahwin sampai tua.
Sebenarnya banyak lagi pantang larang yang sering diguna pakai oleh ibu-ibu kita dahulu, tetapi saya hanya dapat menyenaraikan tiga daripadanya sahaja kerana ada sesetengah pantang larang yang saya tidak ingat. jika diteliti semula, semua pantang larang itu kadang kala kelihatan seperti tidak logik bukan? Ya. memang tidak logik. Saya berpendapat sedemikian kerana saya telah membuat pemerhatian terhadap keluarga saya. Kalau dahulu, ketiga-tiga kakak saya memang suka menyanyi terutama ketika memasak. Tetapi, mereka tetap bertemu dengan jodoh mereka dan berkahwin.
Kedua, saya juga telah membuat uji kaji iaitu dengan duduk di atas bantal. Hasil kajian saya jelas mendapati bahawa duduk di atas bantal tidak mengakibatkan bisul. Justeru saya membuat kesimpulan sendiri bahawa pantang larang sebegini bertujuan untuk mendidik masyarakat pada zaman dahulu untuk berkelakuan sopan. Zaman dahulu manusia mencipta pantang larang sendiri dalam mendisipilinkan anak-anak mereka. Contohnya, jika kita menyanyi sambil memasak akan mengakibatkan kita terleka dan masakan kita boleh menjadi hangit. Oleh sebab yang demikian, anak-anak tidak dibenarkan menyanyi di dapur.
Pantang larang ini juga bertujuan mendidik anak-anak untuk berkelakuan sopan. Bak kata orang, anak gadis akan kelihatan tidak sopan jika berada di bendul pintu rumah. Ianya kelihatan seperti anak-anak gadis itu hanya membuang masa tanpa berbuat apa-apa. Justeru, wujudlah pantang larang sebegini supaya anak gadis mereka takut jika tidak dinikahi orang. Apabila mereka takutkan sesuatu, sudah pasti mereka tidak akan mengulangi perbuatan yang sama lagi.
Pantang larang ini juga bertujuan mendidik anak-anak supaya menjaga kebersihan. Seperti yang kita ketahui, bantal sering dijadikan alas kepala dan bukannya alas punggung. Justeru, apabila dijadikan alas punggung akan mengakibatkan bantal kotor dan mendatangkan ketidakselesaan kepada pengguna bantal seterusnya. Pada pandangan saya, pantang larang sebegini ada kebaikannya jika diteliti secara mendalam walaupun pada hakikatnya ia kelihatan seakan tidak logik namun ia mempunyai maksud tersirat yang bermakna.
Akhir kata dari saya, yang baik jadikan teladan, yang buruk jadikan sempadan. Renung-renungkan dan selamat beramal.
Sekian, terima kasih..
No comments:
Post a Comment